Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Mei. - Dalam usaha memperkukuh nilai pengorbanan dan semangat ukhuwah, memperkembang syiar Islam serta memupuk semangat muafakat, kerjasama dan rasa pemedulian terhadap golongan yang memerlukan, di samping menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan KHEU.
Pada majlis tersebut, sebanyak dua ekor lembu, tiga bahagian kerbau dan seekor kambing telah dikorbankan hasil penyertaan warga KHEU dan ahli keluarga mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, dan isteri.
Seramai 20 orang ketua keluarga daripada golongan Asnaf Fakir Miskin yang terdiri daripada penduduk Mukim Kianggeh dan Mukim Berakas 'A' telah menerima agihan daging korban pada tahun ini.
Daging Korban Sunat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu satu pertiga (1/3) daripada daging korban sunat disedekahkan kepada golongan Asnaf Fakir Miskin; satu pertiga (1/3) diagihkan kepada umat Islam; dan satu pertiga (1/3) lagi diperuntukkan kepada peserta yang melaksanakan ibadah korban.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan acara pengagihan daging korban yang disempurnakan penyampaiannya oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Pelaksanaan ibadah korban ini diharap akan dapat memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping menyemai nilai kesyukuran, keikhlasan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian.
Semoga segala amal ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta dikurniakan keberkatan yang berpanjangan dalam setiap kehidupan di dunia dan akhirat, insyaaAllah.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan isteri; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan isteri.